Auto Added by WPeMatico

![]()
KLUANG – Seorang pekebun bersama ayahnya tidak menyangka terakam kelibat seekor harimau belang yang mengintai di sebalik rimbunan semak samun ketika dalam perjalanan pulang dari kebun yang diusahakannya di Kampung Rahmat di sini semalam.
Lai, 42, berkata, tiada siapa menyangka hutan kecil di kawasan kampung itu terdapatnya seekor harimau dan kewujudannya mampu memberi ancaman kepada penduduk serta binatang peliharaan seperti lembu atau kambing.
Jelasnya, mungkin juga harimau berkenaan tersesat jalan sehingga memasuki kawasan kampung atau memang datang untuk mencari makanan kerana kawasan hutan ini terlalu kecil untuk dihuni binatang pemangsa seperti harimau belang.
Katanya, kejadian terakam kelibat harimau berkenaan berlaku ketika dalam perjalanan pulang bersama ayahnya dan seorang anggota polis yang dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk menyiasat kes kehilangan barang di kebun miliknya.
“Saya bertiga bersama ayah dan seorang anggota polis sedang bergerak balik selepas melakukan siasatan kehilangan barang di kebun dan anggota tersebut merakam untuk tujuan siasatan sebelum terlihat kelibat seekor harimau.
“Memandangkan kami berada dalam kenderaan, ia membolehkan kami melihat lebih lama bagi memastikan adakah ia benar-benar seekor harimau atau hanya replika untuk menakutkan binatang lain,”katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Lai lagi, setelah benar-benar pasti ia adalah seekor harimau mereka bertiga bergegas pulang dan memaklumkan kepada Ketua Kampung Rahmat, Salim Darman agar disebarkan kepada penduduk sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, Salim Darman berkata, satu laporan telah dilakukan kepada pihak polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dilakukan.-KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak, polis menggigil ‘disapa’ pak belang dalam kebun appeared first on Kosmo Digital.
