Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Inisiatif murni Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melaksanakan program Gema Ramadan 2026 berhasil menyantuni ribuan komuniti setempat termasuk di Sabah dan Sarawak.
Selain golongan asnaf dan anak yatim, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak 2023 itu meraikan jasa serta pengorbanan petugas keselamatan.
Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pihaknya bersyukur acara tradisi tahunan itu berjalan lancar sejak dilaksanakan pada 8 Mac lalu sekali gus memberi ruang kepada Bernas untuk terus mendekati masyarakat selain menghargai peranan pelbagai pihak yang menyumbang kepada kesejahteraan negara.
“Gema Ramadan bukan saja menyemarakkan keberkatan bulan mulia ini, malah menjadi platform mengeratkan lagi ukhuwah antara semua pihak.
“Insya-Allah program tahunan ini akan dilaksanakan secara berterusan meliputi sumbangan kepada komuniti dan agensi keselamatan,” katanya pada program itu di Masjid Al Bakri, Kampung Bukit Naga yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Rohani, Gema Ramadan melibatkan pengagihan ribuan bubur lambuk kepada komuniti setempat, rumah anak yatim, masjid, surau, pusat tahfiz dan petugas keselamatan.
“Program bermula di sekitar kawasan Gudang Beras Bernas Telipok, Sabah mengedarkan 1,500 bubur lambuk kepada komuniti di Kota Kinabalu, Menggatal, Sepanggar dan Tuaran.
“Selain itu, kami menyumbang 250 kilogram (kg) beras kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak bagi penyediaan 3,200 bubur lambuk yang diagihkan kepada komuniti di Kuching,” ujarnya.
Beliau berkata, Bernas turut meraikan 350 anggota dan kakitangan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) pada majlis berbuka puasa di Pelabuhan Klang, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE
The post Gema Ramadan Bernas santuni ribuan komuniti, agensi keselamatan appeared first on Kosmo Digital.
