Auto Added by WPeMatico

![]()
BENTONG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 133 buah kenderaan pelbagai kategori yang dianggarkan bernilai RM2 juta dalam Ops Khas Motosikal yang dilaksanakan selama tujuh jam hari ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sepanjang operasi yang bermula pada pukul 6.00 pagi itu, sejumlah 1,203 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
Katanya, antara kesalahan tertinggi yang dikesan ialah gagal memiliki lesen memandu melibatkan 274 notis, diikuti 232 notis kerana gagal memperbaharui atau tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), serta 193 notis kerana tiada perlindungan insurans.
“Daripada keseluruhan kenderaan yang disita, sebanyak 110 adalah motosikal dengan lapan buah motosikal berkuasa tinggi, 21 buah kereta termasuk enam kereta mewah, sebuah van serta lori.
“Dalam ops ini, daripada enam buah kereta mewah yang disita, pihak JPJ telah mendapati sebuah kereta mewah bukan sahaja tiada LKM serta perlindungan insurans tetapi turut menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain.
“Untuk kes ini, pihak JPJ akan mengenakan dua tindakan berbeza kepada pemandu dan pemilik, iaitu tindakan kerana tidak mempunyai LKM dan insurans, serta tindakan di bawah Seksyen 108 iaitu pemalsuan nombor pendaftaran dengan hukuman denda RM5,000 hingga RM20,000,” katanya dalam sidang akhbar di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak, di sini hari ini.
Seramai 183 orang anggota JPJ daripada JPJ Ibu Pejabat, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang terlibat dalam operasi membabitkan laluan Gombak hingga Karak itu.
Dalam pada itu Muhammad Kifli berkata, JPJ memandang serius trend pemandu yang yang kerap menggunakan atau mempamerkan nombor pendaftaran lain di kenderaan mereka bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan.
“Pelbagai motif mereka berbuat demikian dan paling ketara, mereka mahu mengelak tindakan penguatkuasaan terutamanya kamera AwAS (Automated Awareness Safety System),” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post 133 kenderaan termasuk enam kereta mewah bernilai RM2 juta disita appeared first on Kosmo Digital.