Auto Added by WPeMatico

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) hasil sumbangan orang ramai dipercayai melibatkan jumlah kira-kira RM26 juta.
Sumber mendedahkan, kegiatan menyeleweng dana itu terbongkar susulan tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau.
Katanya, operasi itu dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka serta Pulau Pinang sejak Khamis lalu.
Kata sumber, lima suspek terbabit kini direman selama tujuh hari di mana empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis.
“Modus operandi menyeleweng dana itu hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah termasuk membeli mata wang kripto.
“Mereka juga dipercayai telah memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” katanya hari ini.
Kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2015 sehingga sekarang.
Sementera itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut.
Susulan itu, katanya, SPRM telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM 1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta
“SPRM juga telah membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.
Azam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Lima individu dicekup seleweng dana orang ramai RM26 juta appeared first on Kosmo Digital.