Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memaklumkan kepada pihak berkepentingan berhubung pelaksanaan Sistem Kehadiran Pengundi Melalui Pengecaman Aksara Optikal (OCR-VA).
Setiausaha Agung PK, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, persoalan tersebut juga ditimbulkan bagi memastikan aspek ketelusan dan akauntabiliti dalam proses pilihan raya sentiasa dipelihara tanpa mempertikaikan tugas SPR.
“Saya berpandangan isu yang dibangkitkan Naib Presiden PKR merangkap calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengenai pelaksanaan sistem OCR-VA sememangnya perlu dimaklumkan kepada semua pihak berkaitan lebih awal,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Aminuddin sebelum ini mempersoalkan pelaksanaan projek perintis sistem pengesahan pengundi oleh SPR dengan menyatakan perkara itu sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu dengan para calon.
Fuziah berkata, sebarang sistem baharu tidak seharusnya diperkenalkan tanpa penerangan jelas kepada calon dan pihak berkaitan mengenai kaedah pelaksanaan, skop penggunaan serta prosedur operasinya.
“Pilihan raya bukan tempat untuk menguji cuba prosedur baharu. Sebarang perubahan yang diperkenalkan tanpa komunikasi dan libat urus sewajarnya dengan semua pihak berkepentingan boleh menimbulkan kekeliruan serta persoalan yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya.
Fuziah turut berkata, beliau percaya usaha SPR memperkenalkan sistem berkenaan adalah semata-mata bertujuan menambah baik proses pilihan raya.
“Bagaimanapun, integriti sesebuah pilihan raya bukan sahaja bergantung kepada teknologi yang digunakan, tetapi juga tahap ketelusan, kesediaan serta keyakinan semua pihak berkepentingan terhadap proses tersebut.
“Atas sebab itu, pemberitahuan awal dan libat urus dengan pihak berkepentingan bukan sekadar amalan terbaik, tetapi satu keperluan penting bagi memastikan proses demokrasi negara berjalan lancar serta mendapat keyakinan semua pihak,” katanya. – UTUSAN
The post SPR perlu maklumkan lebih awal OCR-VA appeared first on Utusan Malaysia.
