Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Peserta terakhir yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza akhirnya tiba di kapal pagi tadi apabila cucu kepada Nelson Mandela, Nkosi Mandela, menyertai rombongan tersebut.
Pengasas Cinta Salam Malaysia, Musa Nuwayri, berkata, Nkosi yang memeluk Islam pada tahun 2015, amat terkesan dengan kehidupan bersama komuniti Muslim di Afrika sehingga sering menghadiri solat Jumaat bersama rakan-rakannya.
“Islam sangat dekat dengan budaya kami. Itu antara sebab utama saya tertarik pada Islam,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, perjuangan keluarga Mandela terhadap rakyat Palestin juga bukan perkara baharu.
Malah Nelson Mandela sendiri pernah menegaskan ketika beliau menjadi Presiden Afrika Selatan bahawa, “kita terlalu mengerti bahawa kebebasan kita tidak akan lengkap tanpa kebebasan rakyat Palestin.”
Misi flotila kali ini turut disertai beberapa tokoh berpengaruh dunia termasuk aktivis alam sekitar Greta Thunberg, ahli akademik Yasemin Acar dan Ahli Parlimen Poland, Franciszek Wojciech.
“Dengan penyertaan tokoh-tokoh ini, lengkaplah barisan kami. Dari Tunisia kami berangkat, membawa doa dan semangat dunia. Semoga layar ini menjadi saksi bahawa Palestin tidak pernah bersendirian,” katanya.
Semalam, Menteri Luar dari 16 negara menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan Global Sumud Flotilla yang kini dalam pelayaran menuju Gaza, sambil memberi amaran keras terhadap sebarang tindakan haram atau keganasan berhubung misi kemanusiaan itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Turkiye, Sepanyol, Bangladesh, Brazil, Colombia, Indonesia, Ireland, Libya, Malaysia, Maldives, Mexico, Pakistan, Qatar, Oman, Slovenia dan Afrika Selatan. – KOSMO! ONLINE
The post Cucu Mandela jadi peserta terakhir sertai flotilla ke Gaza appeared first on Kosmo Digital.