Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Ringgit mengukuh 5.9 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini setakat 13 Ogos lalu, manakala berasaskan kadar pertukaran efektif nominal (NEER), ringgit meningkat sebanyak 2.1 peratus.
NEER mengukur prestasi ringgit berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utama Malaysia.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bagi tempoh suku tahun kedua 2025, NEER ringgit mengukuh sebanyak 1.5 peratus, manakala berbanding dolar AS, ringgit mengukuh 5.1 peratus.
“Keadaan ini sebahagian besarnya didorong oleh kelemahan dolar AS secara meluas, dengan kadar pertukaran ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran.
“Walau bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, bersama-sama dengan inisiatif berterusan bagi menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan kepada ringgit,” katanya dalam sidang akhbar Pestasi Ekonomi Suku Kedua Tahun 2025 di Sasana Kijang, di sini hari ini.
Pada masa sama, Abdul Rasheed optimis kadar inflasi negara akan kekal rendah, meskipun kerajaan dijadualkan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 tahun ini.
BNM pada Julai telah menyemak turun julat jangkaan purata inflasi tahun ini kepada 1.5 hingga 2.3 peratus.
“Julat unjuran inflasi keseluruhan pada tahun ini disemak kepada julat yang lebih rendah berikutan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana berbanding unjuran yang dibuat pada Mac lalu.
“Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana.
“Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap inflasi dijangka kekal terkawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Ringgit mengukuh 5.9% berbanding dolar AS appeared first on Kosmo Digital.