Auto Added by WPeMatico

![]()
PEMBOHONGAN identiti demi kelangsungan sebuah perkahwinan menjadi teras utama dalam filem terbaharu terbitan Astro Shaw berjudul Amir Amira.
Naskhah tersebut menjanjikan sebuah penceritaan yang berani dan menyentuh sensitiviti masyarakat mengenai rahsia besar yang meruntuhkan rumah tangga.
Amir Amira sebuah karya yang mengisahkan seorang lelaki bernama Ziyad. Dia berkahwin atas dasar cinta pandang pertama dengan Amira.
Kehidupan rumah tangga yang dibina mula runtuh apabila kebenaran tentang identiti Amira yang sebenarnya seorang lelaki akhirnya terbongkar.
Ketua Pemasaran, Pengedaran & Kerjasama Industri Astro Shaw, Norsalvina Alwee mendedahkan, idea asal naskhah ini bukan berdasarkan kisah benar sepenuhnya, sebaliknya tercetus selepas membaca komen dalam media sosial.
“Sebenarnya cerita ini bukanlah berdasarkan kisah benar tapi idea terlahir daripada sekeliling yang saya nampak.
“Ada satu pagi, saya buka media sosial dan ternampak satu hantaran, saya tertarik bila ada satu komen orang tanya ‘kalau awak begini (transgender), bagaimana kalau awak mati? Macam mana awak diuruskan?’
“Itu yang membakar dan terdetik dalam hati, nak tahu apa yang sebenarnya dan nak ceritakan.
“Kemudian, sudah semestinya dengan pengarah bagus, penulis yang baik yang menggabungkan isu dan jadikan sebuah naskhah yang saya boleh cakap sebenarnya sangat mengejutkan,” katanya dalam sidang media tayangan perdana Amir Amira baru-baru ini.
Sementara itu, pengarahnya, Reen Emran bersyukur apabila mendapat kerjasama penuh daripada semua pihak, termasuk penulis skrip yang sentiasa berada di set bagi memastikan keseimbangan jalan cerita terjaga.
“Alhamdullillah, sepanjang masa saya ditemani Zuli yang berada di tepi saya apabila saya berada di hadapan monitor.
“Jadi tak susah untuk saya menyeimbangkan dan tahu apa yang boleh atau tak boleh buat.
“Sebelum skrip diluluskan dan kita turun padang untuk penggambaran, sudah semestinya kita ada merujuk kepada badan-badan berautoriti di luar sana.
“Perjalanan karya ini dipermudahkan dengan hasil kerjasama semua pihak,” ujarnya.
Menyedari sensitiviti subjek yang diangkat, penulis skrip Zuli Ismail menegaskan bahawa pihaknya telah mendapatkan nasihat daripada pelbagai badan berautoriti bagi memastikan garis panduan dipatuhi.
“Memang daripada proses pengembangan dan skrip, kami ada dapatkan nasihat daripada beberapa badan syariah, ustaz dan peguam.
“Alhamdulillah, mereka pun sokong benda ini asalkan kami tak melanggar garis panduan
“Beberapa individu transgender pun kami jumpa. Mereka hendak dilayan seperti manusia juga, jadi itu antara benda positif yang kami cuba letakkan di sini,” tuturnya.
Menyentuh mengenai isu tapisan Lembaga Penapis Filem (LPF), Zuli bersyukur kerana pindaan kecil yang dilakukan tidak menjejaskan intipati cerita.
“Kita memang sudah dapat kelulusan. Ada sedikit komen dan pindaan yang kita kena buat tapi terus-terang saya cakap tak menjejaskan jalan cerita sama sekali,” tuturnya lagi.
Amir Amira kini ditayangkan secara eksklusif menerusi Astro First bermula 26 Februari lalu.
The post Amir Amira selami natijah menjadi transgender appeared first on Kosmo Digital.
