Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan mencabar perintah berhubung pembekuan aset luar negaranya yang diperoleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan menerusi peguamnya hari ini, Na’imah mendakwa, dia akan segera mencabar dan mengetepikan perintah pembekuan aset itu.
“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan apa yang tidak sepatutnya dirampas, negara ini ditadbir oleh undang-undang. Jangan ada keraguan bahawa saya akan melawan tindakan yang bermotif politik, cuai, berdendam dan tidak berlandaskan undang-undang ini melalui segala peralatan perundangan yang tersedia kepada saya,” katanya.
Na’imah turut mendakwa tindakan SPRM yang membekukan asetnya diluar negara adalah satu pencabulan mengejut.
Beliau memberitahu penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu tindakan yang berbahaya.
“Saya hanya mendapat tahu mengenainya melalui laporan media. Ini merupakan satu pencabulan mengejut norma undang-undang yang paling asas,” katanya lagi.
Ujar Na’imah apa yang paling membimbangkan dan mengejutkan adalah ia dilakukan walaupun tiada sebarang kesalahan jenayah dibuktikan terhadap Daim.
Selain itu undang-undang yang digunakan oleh SPRM, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), memperuntukkan bahawa perintah seperti ini hanya boleh diberikan jika terdapat “kesalahan serius” seperti yang ditakrifkan dalam Jadual Kedua.
“Tiada kesalahan seperti itu pernah dibuktikan terhadap saya. Tiada pertuduhan seperti itu pernah dikenakan terhadap Daim. Tiada dapatan seperti itu pernah dibuat – tidak semasa hayatnya, dan sudah pasti bukan selepas kematiannya,” katanya.
Semalam media melaporkan, tiga kediaman mewah di London antara tujuh hartanah dan satu akaun bank milik Na’imah dan keluarga berjaya dibekukan oleh SPRM yang kesemuanya bernilai GBP£ (Great British Pound) 132 juta (RM758.2 juta).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas
membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan kesemua harta itu pada prosiding secara sebelah pihak (ex-parte).
Sebelum ini, SPRM membuat permohonan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Aset yang dibekukan termasuk dua bangunan komersial, tiga kediaman mewah dan satu akaun bank yang kesemuanya berada di London, manakala akaun bank itu dikatakan berdaftar atas nama Yayasan Ilham.
Perintah mahkamah itu kini akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset itu.
Sebelum ini, Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menerima maklumat terbaru dari agensi luar berkaitan harta dan pemilikan aset bernilai tinggi Daim dan keluarga.
Susulan itu pihaknya membuka lapan kertas siasatan baharu berdasarkan maklumat berkenaan.
Azam berkata, aset berkenaan dikesan di Switzerland dan United Kingdom (UK) serta beberapa negara lain.
Setakat ini, sebanyak RM2 bilion aset dan harta milik Allahyarham Daim sudah dibekukan sejak kes disiasat pada Februari 2023. – KOSMO! ONLINE
The post Na’imah akan cabar perintah pembekuan aset luar negara appeared first on Kosmo Digital.