Auto Added by WPeMatico

![]()
SHAH ALAM – Persiaran Mokhtar Dahari yang sering menjadi lokasi kemalangan bakal dinaik taraf secara menyeluruh dengan jangkaan siap menjelang 2030.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, projek naik taraf itu dijangka melibatkan peruntukan sebanyak RM128 juta yang telah dimasukkan dalam Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dan akan dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, ini termasuk naik taraf jalan serta empat persimpangan utama yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan bagi melancarkan aliran trafik.
“Bukan kita tidak buat apa-apa. Kita sudah selesai kajian dan sekarang dalam proses mereka bentuk serta melaksanakan projek secara berperingkat.
“Minggu depan saya akan mengadakan sidang akhbar bagi memperincikan projek pembangunannya,” katanya selepas merasmikan penutupan bengkel Friend Of River di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu kemalangan kerap berlaku di persiaran berkenaan termasuk tiga kes pada bulan ini.
Izham memaklumkan antara penambahbaikan yang telah dilakukan termasuk membaiki persimpangan, lampu isyarat dan lampu jalan selain memasang papan tanda serta bonggol jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna.
Bagaimanapun, kerja menaik taraf secara menyeluruh memerlukan masa kerana membabitkan proses reka bentuk, tender, pemindahan utiliti dan kemungkinan pengambilan tanah.- KOSMO! ONLINE
The post Naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari siap 2030 appeared first on Kosmo Online.
