Auto Added by WPeMatico

![]()
BANGKOK – Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain enggan menyalahkan Aiman Yusuf Muhammad Nabil biarpun menjadi punca kekalahan 0-1 kepada Thailand pada aksi separuh akhir Sukan SEA 2025 di Stadium Nasional Rajamangala itu semalam.
Kekasaran awal pertahanan kanan itu mengundang padah apabila Thailand memanfaatkan sepakan percuma menerusi Yotsakon Burapha (m-8) sebelum situasi bertambah buruk apabila dia dilayangkan kad kuning kedua dan diperintah keluar padang seawal minit ke-16.
Begitupun, Nafuzi pantas mempertahankan Aiman Yusuf yang disifatkan sebagai aset masa depan negara dan insiden tersebut harus dijadikan proses pembelajaran untuk mematangkan corak permainannya.
“Kesilapan dilakukan akan beri dia pengajaran untuk kawal emosi dan elak kesilapan mudah. Mungkin kurang pengalaman dan tekanan bermain perlawanan besar dengan intensiti tinggi. Permainan sangat pantas, jadi mungkin terbuat kesalahan atau kekasaran tidak sepatutnya.
“Apabila sudah mendapat kad kuning, dia sepatutnya boleh mengawal tempo dan emosi, tetapi pada minit-minit awal ia agak sukar. Kami tidak boleh menyalahkan pemain sepenuhnya.
“Secara keseluruhan saya bangga dengan prestasi pemain. Biarpun beraksi 10 pemain, kita dapat kawal permainan dan cipta deretan peluang untuk menjaringkan gol.
“Aksi menentang Thailand jelas berbeza dengan apa yang pemain pamerkan ketika berdepan Vietnam. Banyak perubahan dengan penguasaan bola yang baik, tetapi kita kurang bernasib baik ada pemain kena kad merah,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan impian Malaysia memburu ‘ibu pingat emas’ lebur dan kini fokus terarah kepada aksi penentuan pingat gangsa menentang Filipina esok.
Nafuzi mengakui berdepan krisis kecederaan membabitkan empat hingga lima tonggak utama, namun optimis pemain simpanan mampu menggalas tugas dengan baik.
“Bagi pemain yang saya beri peluang nanti, inilah masanya untuk tunjukkan kemampuan. Kesilapan sentiasa berlaku dalam bola sepak, tapi kita mesti belajar dan perbaiki,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sukan SEA: Nafuzi tak ‘hukum’ Aiman Yusof appeared first on Kosmo Digital.