Auto Added by WPeMatico

![]()
Sejak kebelakangan ini masyarakat mula sedar kepentingan menjaga kesihatan dan ramai yang sebelum ini malas untuk bersenam kini kelihatan aktif melakukan aktiviti tersebut demi kehidupan yang lebih sihat dan bebas penyakit.
Sebenarnya aktiviti ini mula dilakukan selepas pandemik Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020.
Pengalaman ketika Covid-19 mengajar untuk mencari alternatif pencegahan daripada sesuatu penyakit yang boleh dihindari dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Kini alhamdulillah, selain bersenam ramai memilih makanan sihat, melakukan pemerikaan perubatan secara berkala selain lebih prihatin tentang kesihatan mental.
Bagi mereka apa guna jika ada duit ‘berkepuk ‘ tetapi tidak dapat menikmati kehidupan dek dijengah pelbagai penyakit kronik yang sepatutnya boleh dihindari sedari awal.
Kini di mana-mana ada sahaja yang membawa keluarga untuk beriadah terutama di hujung minggu di tempat yang kini banyak disediakan oleh pihak berkuasa demi melihat rakyatnya sihat sekali gus boleh meningkatkan produktiviti dalam kerjaya.
Ini bertepatan dengan pepatah Arab yang berbunyi ‘aqlus salim fil jismis salim’ yang bermaksud akal yang sihat datang daripada badan yang sihat.
Mengambil contoh pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, kalau kita berpeluang ke sana pada malam minggu pasti terlihat ramai dalam kalangan anak muda yang berjoging, melakukan aktiviti berjalan cepat (brisk walk) dan tidak ramai juga yang hanya berjalan kaki bersama keluarga.
Namun di sebalik kesungguhan untuk kelihatan sihat, ada ‘sisi gelap’ yang tidak boleh dihindar oleh segelintir mereka iaitu tidak tahan dengan godaan makanan dan minuman selepas bersenam dek kerana perut yang lapar.
Penulis pernah berdepan situasi sebegini ketika ingin membeli sarapan di sebuah gerai nasi lemak.
Di hadapan berdiri dua gadis yang berpakaian seperti baru balik dari berjoging atau melakukan aktiviti beriadah seperti brisk walk.
Terdengar perbualan kecil antara kedua-duanya yang mengatakan berat badan tidak turun walau sudah lama berjoging sambil menunjukkan lauk ayam goreng dan paru sambal ditambah pula telur mata kerbau ke dalam nasi lemak kepada penjual.
Dalam hati terdetik bagaimana mahu kurus jika godaan makanan selepas berjoging tidak mampu ditahan. Kalau begini caranya, sampai bila-bila semangat untuk menurunkan berat badan mustahil dicapai.
Rasa lapar dan ingin makan banyak selepas bersenam adalah normal kerana tubuh menggunakan banyak tenaga, hormon lapar meningkat. Pada masa itu, badan seolah-olah memberi signal tenaga yang hilang perlu diganti segera.
Dalam hal ini, sekiranya pengambilan kalori melebihi tenaga dibakar, ia boleh menggagalkan matlamat kecergasan atau berat badan anda.
Niat untuk sihat atau menurunkan berat badan ketika melakukan aktiviti senaman, berjoging mahu pun brisk walk adalah murni, tetapi ia perlu disusuli dengan kesungguhan untuk mengambil pemakanan seadanya, bukan mengikut nafsu yang semenangnya tidak pernah puas dengan apa yang ada.
The post Kawal nafsu makan selepas berjoging appeared first on Kosmo Digital.
