Auto Added by WPeMatico

BATU PAHAT – Tular di media sosial seorang pemandu bertindak memberhentikan treler yang dipandu sebelum mundar-mandir dan meniarap sehingga mencetuskan kekecohan.
Dalam beberapa video yang tular itu menunjukkan lelaki terbabit dilihat turun dari kenderaan sebelum berjalan dan meniarap serta melompat seperti ‘kerasukan’.
Susulan kejadian itu, sepasukan polis tiba dan menahan lelaki yang berusia 40-an tersebut.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata pihaknya menerima laporan orang awam berhubung seorang lelaki dilihat seperti kurang siuman sambil mundar-mandir atas jalan di Jalan Parit Bilal di sini pada pukul 1.20 tengah hari, semalam.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, polis menjalankan siasatan dan dokumentasi mendapati lelaki itu dipercayai mengalami kemurungan.
“Lelaki itu menghadapi situasi itu kerana tekanan perasaan berlarutan akibat kehilangan isteri dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif bahan terlarang.
“Bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan.
Shahrulanuar berkata lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk pemeriksaan perubatan.-KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Tertekan isteri meninggal punca pemandu treler mundar-mandir, tiarap atas jalan appeared first on Kosmo Digital.