Auto Added by WPeMatico

BERUAS – Malaysia tidak bergantung tinggi hasil pertanian atau makanan daripada Iran yang sedang berdepan situasi perang dengan Israel.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kurangnya kebergantugan tersebut adalah disebabkan kesan rantaian sekatan ekonomi kuasa Barat terhadap Iran.
Mohamad bagaimanapun berkata, pihaknya memantau keadaan tersebut jika konflik Iran-Israel itu merebak ke negara-negara lain yang membekalkan hasil pertanian dan makanan kepada Malaysia.
“Import makanan kita tidak tinggi (dari Iran). Yang banyak dari India dan Pakistan. Ini kerana Iran hadapi sekatan. Kalau ada yang import daripada Iran pun, adalah melalui pihak ketiga seperti Dubai.
“Antara import dari Iran seperti kurma dan kekacang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan lembu Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak Kampung Tengah di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, Israel melancarkan serangan terhadap Iran dengan mendakwa kononnya negara Parsi tersebut membangunkan senjata nuklear.
Beliau melihat impak perang di Asia Barat itu akan lebih meningkatkan harga komoditi bahan api dunia dan Kabinet dijangka membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat pada Rabu depan.
Sementara itu dalam lawatannya, Mohamad berkata pihak kementerian akan membantu ladang ternakan tersebut yang mempunyai hampir 500 ekor lembu, untuk membina pusat sembelihan dengan harapan dapat meningkatkan produktivi projek. – KOSMO! ONLINE.
The post Malaysia pantau kesan import pertanian, makanan kesan perang Iran-Israel appeared first on Kosmo Digital.