Auto Added by WPeMatico

BACHOK – Bapa kepada salah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, Perak kelmarin memaafkan pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Halim Sidik, 58, berkata, dia menganggap kemalangan tragis yang menimpa anaknya, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, merupakan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan tidak menyimpan dendam terhadap pemandu berkenaan.
“Pemandu bas itu ada keluarga dan pastinya dia tidak berniat untuk memandu bas tersebut dalam keadaan laju meskipun banyak cerita yang diperkatakan berkaitan cara pemanduannya sebelum nahas.
“Biar dia memohon keampunan daripada Allah SWT dan saya reda dengan apa yang berlaku. Allah SWT lebih menyayangi Muhammad Adib Hazim,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Pangkalan Cina di sini hari ini.
Kosmo! Online semalam melaporkan, pemandu bas yang terbabit nahas mengorbankan 15 pelajar UPSI di Gerik, Perak kelmarin menjelaskan dia terpaksa menjerit selepas mendapati brek kenderaan itu gagal berfungsi.
Lelaki berusia 39 tahun itu berkata, dia bukannya marah dengan situasi yang berlaku sebaliknya bertindak demikian kerana mahu menyedarkan penumpang yang sedang nyenyak tidur. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: ‘Pemandu bas ada keluarga, pasti tidak berniat pandu laju’ appeared first on Kosmo Digital.