Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Perjalanan dua beradik pulang ke rumah di Muar, Johor secara beriringan bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar pokok tumbang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Kandang, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.04 pagi itu, mangsa, Muhammad Fauzy Borhan, 33, yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian muka.
Sementara itu adiknya, Muhammad Naim, 30, yang menunggang Yamaha Y15 terselamat, namun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke zon merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dan adiknya dalam perjalanan dari arah Tampin menuju ke Sungai Abong, Muar.
“Setiba di lokasi, kedua-dua mangsa dipercayai tidak perasan terdapat pokok tumbang yang merintangi laluan mereka lalu melanggarnya sebelum tercampak ke depan.
“Akibat kemalangan itu si abang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala adiknya terselamat namun parah,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kemalangan berlaku ketika cuaca hujan renyai dan laluan memiliki pencahayaan yang kurang.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Tak sempat balik Muar, abang maut, adik parah langgar pokok tumbang appeared first on Kosmo Digital.