Auto Added by WPeMatico

LANGKAWI – Kenderaan ‘motorhome’ atau karavan yang biasanya digunakan untuk percutian juga dilihat berada di pulau ini semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Pemilik motorhome, Tajjul Ariffin Mustafa, 60, berkata, dia bersama isteri dan anaknya tiba di sini dari Shah Alam, Selangor pada Khamis lalu untuk melihat LIMA’25 buat pertama kali.
Katanya, motorhome memudahkan urusannya kerana dapat berjimat kerana tidak perlu lagi menempah hotel yang biasanya lebih mahal pada musim ini susulan permintaan meningkat.
“Kami dapat tinggal di sini lebih lama tanpa perlu risaukan harga hotel. Motorhome ini juga dilengkapi dengan kemudahan seperti bilik air dan dapur, jadi kami dapat melihat pertunjukan udara dengan selesa,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, mereka hanya perlu mengisi air di stesen minyak dan membuang sisa dari tandas di mana-mana tandas awam untuk kegunaan harian.
Tambahnya, ketika cuaca hujan lebat dan orang ramai perlu berlindung di bawah payung, dia dan keluarganya hanya perlu berlindung di dalam motorhome.
“Kami juga boleh menikmati kopi panas dan pajeri nanas ketika orang lain perlu meredah hujan lebat,” selorohnya. – KOSMO! ONLINE
The post Untung bawa ‘motorhome’ semasa LIMA’25 appeared first on Kosmo Digital.