Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang memuktamadkan pelan peningkatan kapasiti Jabatan Kimia Malaysia bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bagi mengurangkan tunggakan kes.
Pelan itu turut bertujuan memastikan laporan analisis dapat disiapkan mengikut piagam pelanggan.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata, pelan tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada penambahan sumber manusia, malah turut melibatkan penggunaan peralatan analisis moden serta automasi proses bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan jabatan berkenaan.
“Dalam masa yang sama, kelancaran proses ini turut memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat.
“Ini termasuklah agensi penguat kuasa dan pihak berkepentingan agar pengurusan sampel serta penyampaian laporan analisis dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peningkatan beban kerja Jabatan Kimia yang menerima pertambahan jumlah sampel daripada pelbagai agensi setiap tahun.
Laporan khas Kosmo! pada 21 Julai lalu mendedahkan hanya 476 kakitangan Jabatan Kimia di seluruh negara mengendalikan lebih sejuta sampel sepanjang tahun lalu, selain beban kes meningkat sebanyak 116 peratus sejak 2014.
Pada 2025, sebanyak 1.05 juta sampel diterima berbanding 931,814 sampel pada tahun sebelumnya, merangkumi kes forensik, narkotik, toksikologi, air, makanan dan alam sekitar.
Daripada jumlah tersebut, sampel forensik mencatatkan jumlah tertinggi, manakala kes narkotik, toksikologi dan forensik DNA menunjukkan peningkatan ketara antara 2023 hingga tahun lalu.
Mengulas kebimbangan peningkatan beban kerja boleh menjejaskan proses siasatan dan pendakwaan kes jenayah, beliau berkata, Jabatan Kimia sentiasa melaksanakan pemantauan berkala terhadap baki kes, tempoh penyelesaian analisis dan prestasi setiap makmal.
Katanya, keutamaan turut diberikan kepada kes-kes kritikal berdasarkan permohonan serta keperluan agensi penguat kuasa, manakala setiap analisis terus dijalankan mengikut prosedur, standard kualiti dan keperluan perundangan yang ditetapkan.
“Walaupun berdepan peningkatan beban kerja, setiap analisis terus dilaksanakan mengikut prosedur, standard kualiti dan keperluan perundangan yang ditetapkan.
“Mosti juga akan terus memperkukuh kapasiti dan keupayaan Jabatan Kimia Malaysia bagi memastikan sokongan saintifik kepada proses siasatan dan pendakwaan kekal berkesan selari dengan dasar semasa kerajaan,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh penyelarasan antara agensi, Lih Kang turut berkata, Mosti mencadangkan penambahbaikan struktur Mesyuarat Empat Penjuru yang melibatkan Jabatan Kimia Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman menerusi pewujudan Jawatankuasa Pemandu serta Jawatankuasa Teknikal.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementeriannya turut menerima permohonan tambahan peruntukan daripada Jabatan Kimia bagi memperkukuh kapasiti analisis melibatkan pembelian peralatan makmal, penyelenggaraan, automasi proses dan pembangunan kompetensi pegawai.
Katanya, keperluan tersebut sedang diperincikan mengikut tahap kritikal peralatan, peningkatan beban sampel serta kesannya terhadap tempoh penyediaan laporan.
“Cadangan yang memenuhi keutamaan dan kesediaan pelaksanaan akan dipertimbangkan untuk dikemukakan dalam proses penyediaan Belanjawan 2027.
“Namun tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan dan kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.
Selain itu, Lih Kang menjelaskan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 Jun lalu turut meluluskan pengisian 69 kekosongan jawatan pelbagai skim perkhidmatan di Jabatan Kimia susulan peningkatan mendadak beban kes dan sampel yang perlu dianalisis oleh jabatan itu.
Menurutnya, kelulusan berkenaan diperoleh selepas pihaknya membuat tindakan susulan dengan JPA bagi mengisi kekosongan sedia ada di Jabatan Kimia.
“Pengisian jawatan semasa di Jabatan Kimia adalah sebanyak 91.99 peratus, selari dengan dasar semasa kerajaan untuk pengisian sekitar 90 peratus.
“Susulan kerjasama dan sokongan JPA, sebanyak 69 jawatan pelbagai skim perkhidmatan bagi jabatan tersebut diluluskan untuk diisi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Mosti rangka pelan kurangkan tunggakan kes Jabatan Kimia appeared first on Kosmo Digital.
