Auto Added by WPeMatico

![]()
KULAI – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan urusan berkaitan kedudukan Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KSU) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu sedang diuruskan mengikut peraturan pentadbiran awam sedia ada.
“Hal itu sedang diuruskan antara ketua setiausaha saya dan Ketua Setiausaha Negara.
“Pentadbiran awam mempunyai peraturan untuk menguruskan keadaan sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu berkenaan selepas merasmikan sambutan Hari Pendaftaran Negara (HPN) ke-78 serta peluncuran Kampung Angkat Madani (KAM) dan Sekolah Angkat Madani (SAM) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 2026 di Kampung Melayu Sedenak, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas kritikan Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa beliau gagal menjadi orang tengah dalam isu membabitkan AKPS dan anggotanya, Saifuddin berkata, beliau menerima teguran itu dengan hati terbuka.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan kemampuan pemimpin pembangkang memainkan peranan sebagai pendamai ketika parti mereka sendiri berdepan perpecahan.
Beliau merujuk konflik dalaman membabitkan kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan pendekatan Saifuddin dalam menangani isu membabitkan Mohd Shuhaily dan dua anggota polis berkenaan ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Mereka turut berharap tindakan terhadap Mohd Shuhaily dapat ditarik balik selain mempersoalkan proses pendakwaan serta kemungkinan wujud agenda tertentu berkaitan isu ‘mafia korporat’.
Kelmarin, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor atas dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Faiz Saman dan Ekmal Sofwan Dirman.
Kejadian itu didakwa berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Status penjawat awam Mohd Shuhaily terserah KSU, KSN appeared first on Kosmo Online.
