Auto Added by WPeMatico

![]()
TEMERLOH – Tiada tanda pelik atau perubahan pada diri anak sulungnya ketika kali terakhir mereka bertemu Khamis lalu, malah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Allahyarham Mohd. Radzi Rahimi, 40, dilihat seperti biasa ketika datang menziarahi bapa dan ibunya.
Bapa Allahyarham, Rahimi Abd. Samad, 63, berkata, pertemuan di rumahnya itu kini menjadi kenangan terakhir bersama anak sulung daripada empat beradik itu sebelum menerima berita tragis mengenai kemalangan yang meragut nyawanya bersama keluarga.
Tambahnya, dia dan anaknya tinggal berdekatan di Taman Maran Jaya, Maran, menyebabkan mereka sering bertemu dan berhubung antara satu sama lain.
“Khamis lalu dia datang rumah saya. Kami jumpa dan berbual seperti biasa. Tiada apa-apa perubahan yang saya nampak pada dia. Semuanya seperti biasa, tidak ada tanda-tanda apa-apa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini, hari ini.
Beliau berkata, dia masih tidak menyangka pertemuan tersebut merupakan kali terakhir bersama Mohd. Radzi yang disifatkannya sebagai seorang anak yang baik dan bertanggungjawab terhadap keluarga.
Menurutnya, sebelum kejadian, Mohd. Radzi bersama keluarga baru sahaja pulang daripada menyertai program permotoran di Pulau Pangkor dan sempat singgah di Genting Highlands untuk meluangkan masa bersama sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Maran.
Katanya, arwah kemudian meminta bantuan rakannya membawa pulang motosikalnya dari Bentong ke Maran sebelum dia meneruskan perjalanan bersama isteri, anak-anak dan adik iparnya menaiki Ford Raptor.
“Semalam mereka naik ke Genting Highlands, hari ini dalam perjalanan balik ke Maran. Tidak sangka perjalanan itu menjadi yang terakhir buat mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Khamis lalu jadi kenangan terakhir bersama Mohd Radzi appeared first on Kosmo Digital.
