Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR: Legenda badminton tanah air, Datuk Misbun Sidek sedia untuk memberikan nasihat kepada perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia seandainya diperlukan bekas pemain No.2 dunia itu.
Beliau yang pernah membimbing Zii Jia ketika berada di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, pemain berusia 28 tahun itu masih belum mencapai potensi sebenar biarpun sudah semakin menginjak usia.
Menurut Misbun, seolah-olah ada sesuatu yang menghalang pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu apabila terus bergelut untuk menampilkan corak permainan sebenar dalam kejohanan disertai.
“Zii Jia seorang pemain menyerang, tetapi saya lihat dia masih belum mencapai tahap terbaiknya. Dia pernah berada di tahap itu, tetapi sekarang prestasinya sudah menurun dan usia juga mula memberi kesan.
“Kalau nak beri nasihat memang boleh, tetapi dia sendiri nak atau tidak? Itu maksudnya.
“Macam kuda, kalau dia tidak dahaga, kita tarik macam mana pun dia tidak mahu minum. Tetapi kalau dia hendak, dia ada cara bagaimana dia nak buat sebab dia pernah sampai ke situ,” katanya.
Misbun berkata, Zii Jia tidak boleh dianggap sebagai pemain yang tidak pernah mencapai kejayaan kerana dia sudah membuktikan kemampuan dengan muncul juara Seluruh England dan pernah berada pada tahap terbaik dunia.
Katanya, persoalan utama ketika ini adalah mengenal pasti perkara yang menyebabkan pemain berusia 28 tahun itu gagal mengekalkan tahap berkenaan.
“Dia pernah jadi juara Seluruh England, dia pernah jadi yang terbaik. Bukan dia tidak pernah. Tetapi apa yang menyebabkan dia tidak sampai? Itu jurulatih harus pandang di situ,” katanya.
Ditanya sama ada bersedia membantu sekiranya Zii Jia sendiri datang kepadanya, Misbun berkata, beliau boleh memberikan nasihat berdasarkan pengalamannya, namun buat masa ini tidak mahu pergi lebih jauh.
“Untuk sekarang ini saya boleh cakap sajalah. Saya boleh cakap sebab saya tengok dia budak baik. Saya tengok dia nak bermain.
“Kalau tidak, dia tidak akan keluar dan bermain sampai sekarang. Dia cuba, walaupun kejohanan kecil pun susah nak ambil.
“Pasal ada benda yang dia terbelenggu di dalam dirinya. Apa benda itu, siapa yang nak korek untuk dia?,” katanya.
Zii Jia masih bergelut untuk kembali ke tahap terbaik, termasuk kekalahan mengejut kepada pemain ranking ke-88 dunia, Wu Zhe Ying pada pusingan pertama Terbuka Vietnam minggu lalu.
The post Misbun sedia hulur bantuan kepada Lee Zii Jia appeared first on Kosmo Online.
