Auto Added by WPeMatico

JASIN – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar tidak menolak kemungkinan 47 jemaah yang dilaporkan gagal menunaikan ibadah haji susulan tiada dokumen sah ke Mekah telah dibawa masuk melalui Turkiye menggunakan visa pelancong.
Katanya, pergerakan kumpulan tersebut sebelum ini tidak dikesan sebagai jemaah Haji, sekali gus tiada halangan dilakukan oleh pasukan khas yang terdiri daripada penguat kuasa Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ujarnya, mengambil kira perjalanan pulang mangsa adalah dari Turkiye dan bukannya Jeddah, pihaknya tidak menolak kemungkinan ejen terbabit telah membawa kesemua jemaah ke negara tersebut terlebih dahulu menggunakan visa pelancong sebelum ‘menyelinap’ masuk ke Jeddah tanpa visa Haji.
“Pergerakan kumpulan ini tidak dikesan sebagai jemaah haji, maksudnya macam mana kita nak halang dan difahamkan pergerakan mereka ini mungkin ke negara lain ke Turkiye, dalam kes ini saya tengok mangsa dibawa dari Jeddah keluar ke Turkiye dan bukan terus ke sini (Malaysia).
“Sebelum ini kita berjaya menyelamatkan seramai 80 jemaah Haji yang cuba bertolak ke Jeddah (menggunakan visa pelancong) dan pasukan khas kita telah tahan mereka tapi kalau 47 mangsa kita tak tahu pergerakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Surau Al- Munawwarah di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, di sini, hari ini,
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga yakin syarikat terlibat tidak ditauliahkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH).
“Saya yakin ejen terlibat ini daripada bukan syarikat PJH yang diberikan tauliah, dia mungkin ejen pelancongan dan kerana itu saya sebelum ini telah berkali-kali mengingatkan bakal jemaah untuk menyemak dulu latar belakang syarikat.
“Sebelum operasi haji bermula, tidak kurang 10 kenyataan media dikeluarkan, khutbah Jumaat pun kita ada masukkan mengingatkan masyarakat tentang bahayanya menunaikan haji tanpa melalui permit dikeluarkan secara sah oleh kementerian Arab Saudi kepada kerajaan Malaysia melalui Tabung Haji,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan hasrat 47 jemaah warga emas untuk menunaikan Rukun Islam kelima bertukar mimpi ngeri apabila ditipu ejen dipercayai membabitkan seorang agamawan.
Difahamkan, kesemua mangsa terperdaya dengan janji manis ejen terlibat dan dipaksa meredah laluan berbahaya serta berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah susulan tiada dokuman visa haji.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, suspek ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor semalam selepas laporan polis dibuat oleh waris mangsa di Mantin dekat sini. – KOSMO! ONLINE
The post 47 jemaah ditipu ejen disyaki ‘menyelinap’ dari Turkiye appeared first on Kosmo Digital.