Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Projek Pembinaan Jalan Akses ke Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya pada September depan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek tersebut telah mencapai kemajuan fizikal 96 peratus dengan baki kerja tertumpu kepada pemasangan perabot jalan dan lampu jalan.
Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan baharu lengkap dengan persimpangan bertingkat, jejambat, sistem perparitan, pemasangan utiliti serta pembinaan pencawang SEB baharu.
“Projek ini membuktikan bahawa pelaburan dalam jaringan jalan yang strategik adalah penting untuk masa depan yang lebih baik dan inklusif.
“Ia bakal menjadi laluan alternatif yang penting, menghubungkan Samarahan ke Kuching, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan utama sedia ada,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan jaringan jalan yang lebih tersusun dan berdaya saing, negara membuka peluang pembangunan yang lebih besar dan memperkukuh kesalinghubungan bandar.
“Sebagai Menteri Kerja Raya, saya amat menitikberatkan pelaksanaan projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kementerian Kerja Raya akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Projek LTAK hampir siap sepenuhnya appeared first on Kosmo Digital.