Auto Added by WPeMatico

PENGALAMAN menunaikan haji pada usia 32 tahun, dua tahun lalu adalah momen paling tidak dapat dilupakan selebriti serba boleh Alif Satar.
Perkongsian penyanyi, pelakon, pengacara juga usahawan itu tentang perjalanan yang terpaksa dilaluinya selama lima tahun sebelum direzekikan menunaikan haji buat pertama kali bersama isterinya, Shadila Halid pada 2023 juga banyak menyentuh hati khalayak.
Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut hari ini, sengaja HibGlam mengajak Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 35, mengimbaskan kembali kenangan ibadah terindah dalam kehidupannya itu.
Paling dirindui Alif adalah untuk berada di Mekah bersama jutaan manusia yang datang dengan tujuan sama iaitu agar mendapat haji mabrur dan memperoleh keberkatan Allah.
“Saya cukup rindu untuk berada di Padang Arafah, berdoa dan beribadah dengan tekun kerana tiada yang lebih baik daripada ibadah pada waktu itu.
“Ini kerana sepanjang berada di sana, saya jauh daripada dunia dan kerja, fokus hanya ibadah. Saya rindu bermalam dan berdoa di Muzdalifah selepas selesai wukuf di Arafah.
“Kalau hendak cerita, terlalu banyak rindu, ilmu dan pengalaman yang mengajar diri sewaktu musim haji.
“Saya sentiasa doakan jemaah yang menunaikan haji agar pulang dengan ilmu lebih jelas tentang agama dan boleh dipraktikkan apabila pulang di Malaysia,” tutur Alif.

Haji muda
Lazimnya, rata-rata golongan berusia yang melakukan ibadah haji. Namun, atas pengalamannya, Alif mahu menggalakkan orang muda untuk menunaikan haji jika berkemampuan.
Tidak perlu tunggu tua atau bersedia, kata Alif cukup dengan memasang niat untuk melakukan rukun Islam kelima itu dan berusaha, selebihnya tawakal untuk menerima panggilan Allah.
“Memang kebiasaannya orang tua yang tunaikan haji, tetapi berdasarkan pengalaman, ibadah haji benar-benar memerlukan kekuatan fizikal dan jiwa.
“Bayangkan dengan cuaca yang panas dan perlu berjalan dan bersesak dengan jutaan manusia ditambah kemudahan yang terhad.
“Teksi memang ada tetapi harganya sangat mahal, pilihan terbaik adalah berjalan kaki yang mengambil masa sangat lama dan jauh.
“Sebab itu, saya galakkan orang sekarang bekerja kumpul duit untuk tunaikan haji semasa muda,” katanya.
Tambah Alif, menunaikan haji pada usia muda bukan sahaja memudahkan, tetapi kudrat tenaga yang ada boleh digunakan untuk membantu jemaah haji yang uzur.
“Rebutlah pahala semasa haji, antara caranya adalah dengan membantu orang lain tanpa perlu guna duit, cukup dengan tenaga kita sahaja,” kongsinya.

Gelaran haji
Meskipun bergelar haji pada usia muda, penyanyi yang popular dengan lagu Cukup Indah itu menegaskan, haji bukan sekadar gelaran tetapi satu tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
“Buat haji bukan sekadar hendak dapat ‘title’ haji kerana itu satu ibadah. Sebagai umat Islam, selepas kita melakukan semua amalan yang dituntut seperti berpuasa, berzakat dan solat, pastinya hendak menunaikan haji.
“Tanpa gelaran haji pun, sebagai Muslim kita ada tanggungjawab, bukanlah sebab ‘dapat’ haji kita tergolong sebagai insan istimewa, tidak sama sekali!
“Apa sahaja ilmu yang diperoleh semasa tunai haji harus dipraktik dan dikongsi bersama orang ramai. Apa sahaja yang ingin dilakukan, keberkatan paling penting,” kata Alif.
Sebaik pulang, Alif sentiasa berkongsi mengenai pengalaman menunaikan haji untuk mengalakkan khalayak, terutama orang muda melakukan hal sama.
“Ibadah haji mendidik jiwa dan hati saya, semua manusia sama tanpa mengira pangkat, darjat dan harta. Kalau boleh buatlah haji kerana Mekah itu sebuah kota yang sangat menenangkan jiwa,” tuturnya.
Bercerita tentang sambutan raya Aidiladha, tahun ini Alif meraikan bersama keluarga dengan melakukan ibadah korban di Klang, Selangor.
“Insya-Allah saya bersama keluarga seperti orang lain beraya meraikan Aidiladha. Tahun ini saya dan keluarga akan melakukan ibadah korban dengan kambing kami sendiri, sembelih serta lapah sendiri. Selain inilah masanya saya bercuti dengan anak-anak,” katanya mengakhiri bicara.

The post ‘Arafah, Muzdalifah, terlalu banyak rindu yang mengajar diri’ appeared first on Kosmo Digital.