Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Kerajaan Madani memperuntukkan sebanyak RM9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi menaik taraf Slipway Pengkalan Arang supaya lebih moden dan lengkap.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan nelayan, bukan sekadar retorik semata-mata.
Menurutnya, bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM500,000 telah disalurkan untuk kerja-kerja teknikal sebagai permulaan kepada projek berkenaan.
“Kita mahu pastikan slipway ini mampu menerima bot sehingga 200 Gross Register Tonnage (GRT). Ini bermakna lebih banyak bot boleh dibaiki pada satu-satu masa tanpa perlu menunggu lama.
“Apabila proses baik pulih lebih cepat, nelayan juga dapat segera turun ke laut dan meneruskan aktiviti mencari rezeki,” katanya.
Tambah beliau, projek tersebut bukan sekadar membina kemudahan membaiki bot, sebaliknya turut dirancang sebagai pusat latihan untuk anak-anak nelayan di bawah Pelan Strategik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) 2026–2030.
“Anak muda di kampung boleh mempelajari kemahiran seperti membaiki enjin, kerja kimpalan dan fiberglass.
“Dengan adanya kemahiran ini, mereka mempunyai peluang pekerjaan yang lebih luas dan tidak semestinya bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan di laut,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan projek itu secara berperingkat demi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh oleh komuniti nelayan.
“Insya-Allah, kita buat sedikit demi sedikit supaya kehidupan nelayan bertambah baik. Kita jaga bot mereka, kita jaga pendapatan mereka dan kita jaga masa depan anak-anak mereka.
“Kerajaan Madani bekerja untuk rakyat,” katanya.-KOSMO! ONLINE.
The post RM9 juta naik taraf slipway Pengkalan Arang bantu nelayan appeared first on Kosmo Digital.
