Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memohon rakyat Malaysia mendoakan agar keadilan berpihak kepada yang jujur, menjelang keputusan rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan, Putrajaya esok.
Menerusi satu hantaran di Instagram rasmi miliknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut berkongsi coretan ringkas menggambarkan lima tahun yang telah dilaluinya sebagai satu tempoh penuh ujian.
“Lima tahun diuji. Esok semoga keadilan menyebelahi yang jujur. Tolong doakan,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Hantaran berkenaan menerima pelbagai reaksi pengguna media sosial dan pengikut beliau yang rata-ratanya menitipkan kata-kata semangat dan sokongan moral menjelang keputusan penting itu.
“Semoga dipermudahkan semuanya esok YB! Kami sentiasa di belakang.” kata Sharlin.
“Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan,” kata Yujian,
“Selamat maju jaya.” ujar Ain yang meninggalkan pesanan ringkas.
Nasib Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) akan diketahui pada esok di Mahkamah Rayuan.
Keputusan rayuan Syed Saddiq, 33, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang telah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili pendakwaan selaku responden. – KOSMO! ONLINE
The post Lima tahun diuji, moga keadilan menyebelahi yang jujur – Syed Saddiq appeared first on Kosmo Digital.