Auto Added by WPeMatico

GUA MUSANG – Seorang buruh ladang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di kawasan rumah kongsi kebun getah di sebuah ladang dekat sini kira-kira tiga minggu lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mg Zaw, 44, yang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang warga Myanmar, Khin Mg Swee.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan rumah kongsi kebun getah, Ladang Sonchong kira-kira pukul 4.30 petang hingga 7.10 malam pada 7 September lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Akhbar Kosmo! sebelum ini melaporkan, cemburu dengan perbuatan rakan yang memeluk isterinya dipercayai menjadi punca suami kepada wanita berkenaan menetak rakan dengan parang hingga maut. – KOSMO! ONLINE
The post Buruh ladang didakwa bunuh rakan di kawasan rumah kongsi appeared first on Kosmo Digital.