Auto Added by WPeMatico

![]()
GEORGE TOWN – Sebuah kilang piala dan medal plastik dilaporkan musnah dalam satu kejadian kebakaran di Lebuh Raya Kampung Jawa, Bayan Lepas di sini, hari ini.
Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu tidak melibatkan kemalangan jiwa mahupun kecederaan dialami pekerja di bangunan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 9.10 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru yang diketuai Komander Operasi iaitu Penguasa Bomba Kanan ll, Mohamad Hirman Mat Rodzi dengan bantuan BBP Seri Balik Pulau.
“Kebakaran melibatkan sebuah kilang (Kelas A) yang membuat piala dan medal plastik dengan anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran adalah sebanyak 70 peratus.
“Kebakaran tersebut telah dapat dikawal pada pukul 9.40 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya lagi, terdapat juga bahan kimia jenis thiner, primmer, hexane dan colour pigment yang disimpan di dalam kilang tersebut.
“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) turut hadir ke lokasi kebakaran bagi menjalankan pemeriksaan sekiranya terdapat kebocoran bahan kimia yang berlaku.
“Tindakan anggota adalah dengan melakukan kerja-kerja pemadaman menggunakan kaedah ‘offensive’ dan ‘defensive’.
“Pasukan Hazmat melakukan bacaan parameter bagi memastikan tiada kebocoran bahan kimia pada tangki simpanan kilang tersebut dan kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 11.40 pagi tadi,” ujarnya.
Tambah beliau, operasi memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 12.26 tengah hari tadi dan lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Kilang piala, medal plastik musnah terbakar appeared first on Kosmo Digital.