Auto Added by WPeMatico

![]()
PEKAN – Lima individu termasuk seorang jururawat wanita ditahan reman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penjualan sijil cuti sakit (MC) palsu.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Mahkamah Majistret Pekan hari ini selepas polis menahan kesemua suspek berusia 30 hingga 55 tahun di beberapa lokasi sekitar daerah Pekan antara pukul 3 petang hingga 10 malam semalam.
Majistret, Melody Woon Sze Mun membenarkan tahanan reman empat hari sehingga 19 Jun ini terhadap empat suspek yang dipercayai bertindak sebagai pembekal dan orang tengah manakala seorang lagi direman tiga hari sehingga 18 Jun ini kerana disyaki bertindak sebagai pembeli.
Kes disiasat di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan bermula selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan menerima maklumat pada 12 Mei lalu mengenai kegiatan penjualan MC yang dipercayai berlaku di sekitar daerah ini.
Katanya, maklumat diperoleh daripada seorang individu yang mendakwa membeli MC daripada seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai orang tengah untuk mendapatkan dokumen berkenaan daripada sebuah klinik kerajaan dengan bayaran tertentu.
“Hasil semakan PKD Pekan mendapati MC terbabit menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan yang telah bertukar tempat bertugas sejak 2023.
“Semakan lanjut turut mendapati nombor siri yang digunakan berasal daripada buku MC rasmi yang telah diedarkan kepada sebuah klinik kerajaan,” katanya.
Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati MC berkenaan dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping.
Jelasnya, kegiatan itu dipercayai dijalankan secara terancang dengan melibatkan individu yang berperanan sebagai orang tengah bagi mencari pelanggan dan menguruskan urusan penjualan MC. – KOSMO! ONLINE
The post sindiket jual MC palsu: 5 termasuk jururawat ditahan appeared first on Kosmo Digital.
