Auto Added by WPeMatico

![]()
KOTA BHARU – Perlakuan membahayakan keselamatan awam melibatkan aktiviti rempit di kawasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini sehingga tular di media sosial tidak boleh dikompromi perlu diambil tindakan tegas melalui aspek penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Malaysia Airports Holdings Berhad bagi mempergiat operasi di kawasan berisiko termasuk LTSIP.
Katanya, isu sosial itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan termasuk komuniti bagi membina nilai, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan anak muda.
“Isu tersebut harus ditangani secara bijaksana dengan fokus kepada penyelesaian jangka panjang dan bukannya sekadar pelabelan atau persepsi negatif.
“Selain itu, sikap segelintir anak muda tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan generasi muda Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Zamakhshari memberitahu, majoriti anak muda Kelantan sebenarnya aktif dalam pelbagai bidang positif seperti pendidikan, sukan, keusahawanan dan program pembangunan diri.
Menurutnya, meskipun terdapat beberapa insiden yang tular di media sosial, ia perlu melihat keseluruhan gambaran anak muda di Kelantan.
“Pendekatan kerajaan negeri bagi menangani isu ini adalah menyeluruh, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
“Ia termasuk memperkukuh program pembangunan belia melalui inisiatif seperti Kelantan Future Leaders Institute, Anak Muda Rakan Al-Quran dan pelbagai aktiviti akar umbi di bawah Urusetia Belia dan Sukan,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan riadah dan ruang aktiviti alternatif, termasuk tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah, serta menyokong acara permotoran sihat seperti RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan tindakan kumpulan mat rempit menjadikan balai pelepasan di terminal baharu LTSIP di sini sebagai litar bukan hanya menyedihkan, bahkan sangat memalukan.
Katanya, Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaik taraf LTSIP bagi memastikan perjalanan udara yang lebih baik untuk Kelantan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, LTSIP di sini yang sudah dinaik taraf kini dicemari dengan kehadiran ‘mat rempit’ yang didakwa mengganggu ketenteraman awam di situ.
Kumpulan ‘mat rempit’ ini turut bertindak melakukan ‘rem’ dan menunggang motosikal mereka secara melawan arus di laluan pengguna lapangan terbang tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Tiada kompromi isu ‘mat rempit’ cemar imej lapangan terbang Kota Bharu – Exco appeared first on Kosmo Digital.
