Auto Added by WPeMatico

![]()
NILAI – Seorang wanita yang mempunyai masalah mental rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Mantin Baharu, Mantin, lewat malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, rumah teres berkeluasan sekitar 54 meter persegi yang didiami dua beradik musnah sepenuhnya.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.33 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin bergegas ke lokasi bersama bantuan dari BBP Nilai.
“Pasukan tiba kira-kira lima minit kemudian dan mendapati kebakaran telah memusnahkan keseluruhan rumah. Mangsa ditemui rentung di dalam bilik dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan,” katanya kepada pemberita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, berdasarkan maklumat awal, kediaman itu didiami dua beradik berusia masing-masing lingkungan 30-an dan mangsa berada seorang diri di rumah ketika kejadian kerana adiknya keluar membeli makanan.
Beliau berkata, penduduk setempat tidak dapat menyelamatkan mangsa berikutan api marak dengan cepat selain keadaan rumah yang berkunci.
“Ketika adiknya pulang, rumah sudah terbakar sepenuhnya. Mangsa dipercayai sedang tidur di bilik utama semasa kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita rentung rumah terbakar di Mantin appeared first on Kosmo Digital.
