Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menjalankan siasatan penuh berhubung dakwaan penderaan melibatkan pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang tular di media sosial sejak semalam.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah menerima laporan awal daripada Timbalan Ketua Pengarah Mara berhubung kes berkenaan selepas dimaklumkan oleh pempengaruh terkenal, Ariz Ramli atau Caprice.
Menurut beliau, taska tersebut merupakan syarikat yang menerima pembiayaan Mara bagi program pendidikan awal kanak-kanak (early childhood education).
“Buat masa ini terdapat dua premis di bawah pembiayaan Mara iaitu di Klang dan Bestari Jaya. Namun, kejadian yang didakwa berlaku di Kota Kemuning tidak melibatkan operator di bawah pembiayaan Mara,” katanya menerusi satu komen di Instagram Caprice.
Bagaimanapun, Asyraf Wajdi menegaskan siasatan tetap akan dijalankan secara menyeluruh kerana beliau tidak mahu Mara terus membiayai atau berkolaborasi dengan mana-mana institusi yang mempunyai rekod gagal menjaga kualiti pendidikan serta keselamatan kanak-kanak.
“Saya tidak mahu Mara membiayai dan bekerjasama dengan institusi yang mempunyai rekod tidak menjaga kualiti pendidikan, apatah lagi yang melibatkan soal keselamatan dan kesejahteraan anak-anak,” tegasnya.
Beliau turut meminta orang ramai, khususnya ibu bapa yang mempunyai maklumat berkaitan penderaan di taska terbabit untuk tampil membantu siasatan.
“Semua komen-komen di ruangan posting ini saya turut minta pengurusan Mara perhalusi dan ambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tindakan beberapa pengasuh sebuah taska swasta di Shah Alam yang didakwa mengurung seorang kanak-kanak autisme dalam bilik stor serta memaksa seorang bayi meminum susu dengan cara dikepit menggunakan kaki telah mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman kejadian itu didedahkan Caprice menerusi Instagram Munafik Hunter dan meraih lebih 1.2 juta tontonan dalam tempoh kurang 24 jam, selain mencetuskan desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengasuh dan pengurusan taska terbabit. – KOSMO! ONLINE
The post Mara siasat kes pengasuh taska dera bayi, budak di Shah Alam appeared first on Kosmo Digital.