Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Dataran Merdeka dijangka bertukar menjadi lautan putih pada 24 Ogos ini apabila lebih 100,000 rakyat berhimpun bagi menyatakan solidariti bersama perjuangan Gaza dalam Malam Himpunan & Selawat MalaysiaKu Bersama Gaza sempena acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) merangkap Pengarah Karnival, Datuk Dr Sani Araby berkata, lautan putih di Dataran Merdeka menjadi simbol kesatuan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Gaza.
“Bersempena bulan kemerdekaan negara, sangatlah bererti untuk kita sebagai rakyat yang sudah merdeka menghayati keperitan dan membantu memerdekakan saudara kita di Gaza dan Palestin dari cengkaman regim apartheid Zionis,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, program anjuran bersama Mapim dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang mempertahankan suara Palestin di pentas dunia.
Katanya, empat menteri turut tampil sebagai penaung bersama iaitu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar; Menteri Wilayah Persekutuan serta Menteri Besar Selangor.
Tambahnya, Mapim memperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai rakan strategik yang membuka reruai kesedaran digital di Hall Rafah dengan pameran Kempen Internet Selamat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM merangkap Ketua Projek Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri menyifatkan himpunan ini sebagai gema suara rakyat Malaysia yang akan diterjemahkan dalam aksi aktivis menyertai Global Sumud Flotilla melibatkan 39 negara bagi menghantar bantuan ke Gaza. – KOSMO! ONLINE
The post Solidariti Gaza: 100,000 dijangka banjiri Malam Himpunan MalaysiaKu appeared first on Kosmo Digital.