Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Vietnam demi kestabilan dan keamanan serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia dan Vietnam sememangnya mempunyai hubungan pertahanan erat terutama dengan pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pertahanan pada Disember 2023.
Katanya, pembaharuan MoU itu membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertahanan.
“Ini sekali gus menjadi bukti komitmen kedua-dua negara untuk terus memperkukuh hubungan dua hala,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohamed Khaled kini berada di Vietnam bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari yang juga merupakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Vietnam, Jeneral Phan Van Giang.
Mohamed Khaled berharap lawatan itu dapat membawa hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam ke tahap lebih tinggi, di samping membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Semoga lawatan ini membawa hubungan pertahanan Malaysia-Vietnam ke tahap yang lebih tinggi, membuka lebih banyak peluang kerjasama yang memanfaatkan kedua-dua negara, di samping menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau,” katanya. – UTUSAN
The post Malaysia-Vietnam perkukuh kerjasama pertahanan appeared first on Utusan Malaysia.
