Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Polis mengesan penyebaran surat jemputan majlis hari raya dan permintaan sumbangan disyaki palsu kononnya daripada Cawangan Trafik dan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan perkara terbabit kira-kira pukul 5.50 petang semalam melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, surat berkenaan didapati ditandatangani oleh individu menggunakan nama ‘Superintendan Jamil Abdul.
“Hasil semakan mendapati bahawa nama tersebut tidak wujud dalam mana-mana rekod pegawai di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Tiada sebarang surat rasmi dikeluarkan bagi tujuan permohonan sumbangan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Zamzuri berkata, penyebaran surat itu dipercayai merupakan cubaan memperdaya orang awam bagi mendapatkan sumbangan yang berpotensi menjejaskan imej dan kredibiliti PDRM.
“Laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terperdaya dengan sebarang permintaan sumbangan yang meragukan. Pengesahan boleh dibuat di talian 03-2071 9999, atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Jangan terperdaya jemputan raya, mohon sumbangan palsu – JSPT appeared first on Kosmo Digital.
