Auto Added by WPeMatico

STUTTGART – Bintang baharu Bayern Munich, Luis Diaz tidak menunggu lama untuk menjulang trofi pertamanya bersama pasukan itu apabila menjuarai Piala Super Jerman musim ini.
Lebih manis, Diaz yang dibeli daripada Liverpool dengan harga €75 juta (RM368.704 juta) bulan lalu, turut meledak satu gol buat Bayern menewaskan VfB Stuttgart 2-1 di MHP Arena awal pagi semalam.
Kecemerlangan ditunjukkan pemain sayap lincah Colombia itu mendapat pujian tinggi daripada rakan sepasukan, Harry Kane yang turut meledak satu gol buat pasukan juara Jerman tersebut.
“Anda boleh lihat kualiti satu lawan satu yang dia ada. Sangat tajam dan lincah.
“Dalam bola sepak moden, pemain sayap perlu menyumbang 15-20 gol semusim. Jaringan itu terhasil daripada larian yang hebat, penyudah yang kemas,” kata Kane.
Kapten Bayern, Manuel Neuer turut senada dengan kenyataan penggempur England itu dan kini merasakan mereka pada landasan tepat untuk membuka kempen mempertahankan gelaran Bundesliga menjelang aksi pertama menentang RB Leipzig minggu depan.
“Kami beraksi dengan baik dan memenangi semua perlawanan pramusim termasuk hari ini. Saya harap kami dapat teruskan momentum ini ke perlawanan Bundesliga musim depan,” jelasnya.
Gol tunggal Stuttgart dalam aksi itu diperoleh menerusi Jamie Leweling di penghujung perlawanan. – AGENSI
The post Diaz rangkul trofi pertama di Bayern appeared first on Kosmo Digital.