Auto Added by WPeMatico

![]()
KUANTAN – Taktik baharu sindiket penipuan yang menjadikan kawasan luar bandar sebagai pusat operasi gagal mengaburi pihak polis yang berjaya mengesan kegiatan mereka.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dua sindiket berkonsepkan ‘calling centre’ itu berjaya dilumpuhkan dalam dua serbuan berasingan di Bera dan Mentakab baru baru ini.
Katanya, dalam serbuan pada 27 November dan 2 Disember lalu masing-masing di Bera dan Mentakab, polis menahan 13 individu terdiri daripada 11 warga asing dan dua tempatan.
“Dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Triang, Bera polis berjaya menumpaskan sindiket pelaburan tidak wujud selepas menahan enam lelaki dan dua wanita warga China berusia antara 21 hingga 39 tahun.
“Polis turut merampas 19 unit telefon bimbit dan dua unit komputer riba bernilai RM31,500 dan siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan warga China sebagai mangsa,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Tambahnya, siasatan mendapati sindiket ini beroperasi menggunakan akaun palsu di aplikasi Facebook untuk memerangkap mangsa, sebelum beralih ke aplikasi Telegram bagi memperdaya mangsa menyertai skim pelaburan tidak wujud.
Dalam pada itu katanya, dalam serbuan kedua di sebuah premis di Puncak Lestari Mentakab di Temerloh pihak polis berjaya melumpuhkan sindiket penukaran mata wang asing tidak wujud.
Katanya, dalam serbuan itu polis menahan lima individu terdiri daripada dua tempatan dan tiga warga asing berusia antara 29 hingga 39 tahun.
“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah 11 unit telefon bimbit, tujuh unit komputer riba, dua unit monitor, satu unit pemprosesan pusat (CPU), satu unit papan kekunci dan satu unit modem dengan anggaran nilai keseluruhan RM30,000,”katanya.
Katanya berdasarkan siasatan awal mendapati kesemua suspek tinggal di premis tersebut sejak Julai lalu dan memperoleh pekerjaan melalui Facebook dan laman web carian kerja, sebelum diarahkan ke lokasi melalui WhatsApp.
Katanya, mereka berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan dibayar gaji antara RM2,500 hingga RM4,000 sebulan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua sindiket penipuan beroperasi di luar bandar lumpuh, 13 ditahan appeared first on Kosmo Digital.