Auto Added by WPeMatico

![]()
REMBAU – Seorang pemandu lori maut apabila merempuh sebuah lori lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di kilometer 41.7, Jalan Seremban – Tampin, dekat Kendong, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.01 pagi itu, mangsa, Muhammad Nazri Lili, 27, beralamat di Rumah Rakyat Kampung Tengah, Gedok, Tampin disahkan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan di bahagian dada susulan tersepit di tempat duduk pemandu.
Menurutnya, kemalangan membabitkan lori jenis Hino dipandu lelaki berusia 51 tahun dan lori jenis CNG dipandu mangsa yang mana kedua-duanya dari arah yang sama iaitu Tampin.
“Siasatan awal dan semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kedai berhampiran di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku semasa lori jenis Hino dari arah Tampin hendak menghala ke Klang, Selangor.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, semasa lori Hino sedang berhenti di simpang empat lampu isyarat yang ketika itu lampu isyarat sedang berwarna merah, tiba-tiba datang lori dari arah belakang terus melanggar lori Hino,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Hasani lagi, mayat mangsa telah di hantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi proses bedah siasat pada pukul 10 pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Susulan kejadian berkenaan, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.- KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori maut rempuh lori lain berhenti di lampu isyarat merah appeared first on Kosmo Digital.