Auto Added by WPeMatico

REVOLUSI yang dilakukan ketika ini menjadikan Harimau Malaya sebagai pasukan idaman buat mana-mana negara untuk menguji kekuatan masing-masing.
Terbaharu, negara jiran, Singapura turut mengakui skuad kendalian Peter Cklamovski sebagai pencabar penting buat The Lions menguji kekuatan khususnya menjelang kelayakan Piala Asia 2027, Oktober nanti.
Perlawanan dengan Harimau Malaya bakal menjadi aksi pertama Singapura di bawah kendalian jurulatih sementara, Gavin Lee yang menganggap ia sebagai peluang terbaik kepada perkembangan pasukannya.
“Perlawanan ini adalah peluang berharga buat kami sebelum hadapi India dalam aksi kelayakan Piala Asia. Malaysia menjadi lawan yang sukar kerana mereka akan bermain di depan penyokong sendiri.
“Inilah ujian yang kami perlukan untuk menguji kemampuan kami sebelum berdepan aksi kelayakan Piala Asia nanti,” katanya.
Rekod sebelum ini menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 4-1 pada aksi Kejuaraan Asia Tenggara 2023 dan perhitungan terakhir kedua-dua pasukan di kejohanan sama, tahun lalu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Selepas mengambil keputusan menarik diri daripada Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025, Harimau Malaya pantas mencari lawan ganti apabila sah menentang Singapura dan Palestin.
Cklamovski menyifatkan perlawanan itu nanti sebagai persiapan terbaik sebelum mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos dan Nepal dan Oktober dan November ini.
The post Harimau Malaya mula jadi perhatian appeared first on Kosmo Digital.