Auto Added by WPeMatico

![]()
Kasih sayang seorang ibu tidak diukur ketika anak berada di puncak kejayaan, tetapi ketika anak berada di titik paling rendah dalam hidup.
Mereka tetap memilih untuk berdiri di sisi dan memaafkan anak sebesar manapun kesilapan dilakukan.
Begitulah kisah Zana (bukan nama sebenar) seorang ibu kepada enam anak yang diuji apabila anak perempuan sulungnya hamil di luar nikah pada usia 16 tahun.
Menurut Zana, memaafkan adalah jalan untuk mereka meneruskan kehidupan dan memberi ruang kepada anak untuk bertaubat, memperbaiki diri dan meneruskan kehidupan.
Katanya, sudah hampir 20 tahun peristiwa itu berlalu. Wanita berusia 55 tahun itu berkata, dia tidak berniat untuk membuka aib anak sendiri atau mengungkit kisah lalu, tetapi sebagai pengajaran kepada ibu bapa di luar sana.
Seorang anak katanya, tidak hanya memerlukan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal tetapi lebih daripada itu. Mereka juga memerlukan kasih sayang dan perhatian.
“Sebagai ibu saya tidak mampu mengubah apa yang telah berlaku. Namun saya belajar sesuatu, jangan hanya melihat kesilapan dilakukan, tetapi bagaimana membantu mereka untuk bangkit semula,’’ ujarnya dalam pertemuan diatur baru-baru ini.
Menyingkap kisah lalu, kata Zana sebagai ibu, hanya Allah yang tahu perasaannya sebaik mendengar pengakuan daripada anak sendiri.
Hatinya hancur, sedih dan kecewa. Beribu persoalan bermain di fikiran ketika itu. Namun selepas reda, Zana sedar satu perkara.
“Dia tetap anak saya. Saya tahu dia telah melakukan kesilapan. Saya sedar, dia lebih memerlukan bimbingan daripada hukuman, lebih memerlukan soSkongan daripada cemuhan.
“Sebab itu saya memilih untuk tidak menghukumnya. Saya percaya, dia akan terus tersasar jauh, jika saya sebagai ibu turut meninggalkannya,” ujarnya.
Menyelami lebih dalam hati seorang ibu kata Zana, suatu ketika dahulu dia pernah bahagia.
Rina, (bukan nama sebenar) merupakan anak sulungnya bersama bekas suami, Baha (bukan nama sebenar).
Tahun demi tahun, Allah mengurniakan mereka seorang demi seorang cahaya mata sehingga enam orang semuanya.
Menurut Zana, dia menyangkakan semakin ramai anak, semakin bertambah erat hubungan mereka suami isteri.
Namun dia silap. Selepas kelahiran anak bongsu, dia melihat perubahan besar kepada suami.
Lama-kelamaan dia mendapat tahu suami terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Sejak itu kehidupan mereka sekeluarga berubah.
Sepanjang 10 tahun hidup bersama suami, pertengkaran demi pertengkaran berlaku.
Sejak suami terjebak dengan penyalahgunaan dadah, tanggungjawab terhadap keluarga terabai. Nafkah sering tidak mencukupi.
Menurut Zana, dia sendiri terpaksa keluar mencari pekerjaan. Akhirnya, pada pertengahan Jun 2006, dia mengambil keputusan untuk berpisah.
Bukan kerana tidak sayang, tetapi tidak lagi mampu melihat anak-anak membesar dalam suasana ketakutan dan pertengkaran. Selepas perceraian itu, episod baharu dalam hidup Zana dan anak-anak bermula.
Rina mula memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada usianya.
“Ketika saya bekerja, Rina mengambil alih mengurus dan menjaga adik-adik di rumah.
“Saya tidak salahkan Rina 100 peratus atas apa yang berlaku. Tanpa saya sedari, di sebalik senyuman Rina, dia masih seorang kanak-kanak yang memerlukan kasih sayang dan perhatian,” ujar Zana berterus terang.
Menyambung cerita, kata Zana pada usia 12 tahun, Rina masih menjadi anak yang mendengar kata. Apabila memasuki usia 16 tahun, Rina mula berubah. Keputusannya untuk berhenti sekolah juga terpaksa dituruti
Rina semakin sukar ditegur. Mula berani keluar rumah tanpa pengetahuannya. Sehinggalah pada suatu hari, Zana menerima pengakuan yang paling ditakuti.
Rina mengakui terlanjur dengan teman lelaki, Khair, (bukan nama sebenar) yang baru dikenali.
Menurut Zana, dunianya ketika itu benar-benar runtuh. Hatinya benar-benar hancur.
Dalam usia yang masih muda, ternyata Rina gagal mengawal diri. Batas yang sepatutnya dijaga akhirnya dilanggar. Selepas pengakuan itu, Zana tidak membuat keputusan dalam keadaan emosi.
Sebaliknya, dia memilih membantu Rina untuk kembali insaf dan memperbaiki kehidupan dengan lebih baik. Menurut Zana, kisah yang diceritakan bukan tanda dia menyokong perbuatan yang telah berlaku.
“Sebagai seorang ibu, saya percaya kepada peluang kedua. Mereka yang tersilap tidak seharusnya dihukum sehingga hilang seluruh harapan dalam hidup,” ujarnya.
Katanya, apa yang berlaku bukan semata-mata tentang kesilapan Rina. Kata Zana, ketika dia sibuk mencari rezeki, dia tidak memberi perhatian secukupnya kepada anak-anak.
Sedikit demi sedikit kata Zana, tanpa disedari, anak-anak terutama Rina membesar dengan memendam rasa. Menurut Zana, keletihan memikul tanggungjawab sejak kecil meninggalkan kesan yang dia sendiri sebagai ibu tidak nampak ketika.
Sambung Zana, keputusan untuk menghantar Rina ke pusat perlindungan remaja dan wanita di Selangor ketika itu demi masa depan anak perempuannya itu. Di sana, Rina mendapat tempat tinggal, bimbingan serta sokongan untuk menghadapi kehamilannya.
Selepas bayi itu dilahirkan, teman lelaki Rina bertemu dengannya dan mengakui kesilapan serta menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab.
Sambung Zana, sepanjang tempoh 20 tahun itu juga dia melihat Rina melalui fasa yang panjang.
Daripada seorang anak yang terpaksa melupakan zaman kanak-kanak hingga remaja yang tersilap langkah, kini dia menjadi seorang ibu dan isteri yang matang,
“Setiap orang perlu diberi peluang kedua dan pintu taubat tetap terbuka.
“Sebagai seorang ibu, saya memilih untuk tidak meninggalkan anak ketika dia berada di titik paling rendah dalam hidupnya,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Kisah Rina mengingatkan walaupun seseorang melakukan kesilapan besar, pintu taubat dan rahmat Allah tetap terbuka.
Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jika ada dua orang di antara kamu yang melakukannya, (perbuatan keji), berilah hukuman kepada keduanya. Jika keduanya bertaubat dan memperbaiki diri, biarkanlah mereka. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang” – Surah An Nisa ayat 16
The post Ibu diuji anak hamil di luar nikah appeared first on Utusan Malaysia.

