Auto Added by WPeMatico

![]()
WASHINGTON: Pertaruhan kenderaan penjelajah Curiosity milik agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) yang sudah bertapak selama 14 tahun bagi menyiasat potensi hidupan mikrob purba di Marikh kini dicabar dengan penemuan imej baharu yang mencetuskan kontroversi luar biasa.
Satu foto terbaharu memaparkan pembukaan gelap berbentuk segi empat tepat yang terukir pada lereng bukit berbatu. Keadaan itu sekali gus mendorong beberapa pemerhati mendakwa ia kelihatan seperti struktur pintu masuk sebuah kediaman purba.
Curiosity merakam gambar berkenaan pada lewat Julai lalu ketika menghampiri tebing bukit di Mount Sharp iaitu gunung setinggi 4.83 kilometer yang sedang didakinya di dalam Kawah Gale.
Kenderaan tersebut pada asalnya sedang meneliti lapisan endapan geologi bagi memahami pergerakan angin atau air berbilion tahun dahulu.
Beberapa imej yang dirakam melalui kamera Mastcam kemudian disatukan menjadi sebuah panorama resolusi tinggi. Menerusi mozek foto inilah, penyelidik Objek Terbang Tidak dikenali (UFO), Scott C. Waring, mendakwa telah menemui pintu masuk yang terbina pada lereng bukit tersebut.
“Pintu masuk itu dianggarkan setinggi 2.01 meter dan selebar 1.01 meter. (Ia) saiz yang hampir serupa dengan pintu kediaman di bumi,” kata Waring. Beliau turut mempersoalkan tindakan NASA yang tidak menghampiri objek tersebut dan mendakwa agensi angkasa itu mungkin menyembunyikan hasil siasatan rasmi.
Bagaimanapun, NASA kekal dengan pendirian bahawa tiada sebarang bukti hidupan luar angkasa pernah ditemukan di Marikh. Agensi itu menegaskan bahawa objek-objek misteri yang sering kelihatan di planet merah tersebut sebenarnya ialah bentuk batuan semula jadi yang ganjil.
Pihak pemerhati turut mendedahkan bahawa Waring tidak memberikan sebarang bukti saintifik atau formula ukuran bagi menyokong saiz ‘pintu’ itu.
Saiz sebenar pembukaan batu itu tidak dapat disahkan melalui foto panorama semata-mata tanpa maklumat jarak atau skala objek berhampiran.
Setakat ini, NASA belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan terbaharu tersebut. Bagaimanapun, insiden serupa pernah berlaku pada Mei 2022 apabila Curiosity merakam struktur seakan pintu yang kemudian disahkan retakan batuan semula jadi berketinggian. – AGENSI
The post ‘Pintu misteri ditemukan di lereng bukit Marikh – NASA appeared first on Utusan Malaysia.
