Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Deretan selebriti berlumba-lumba melancarkan lagu raya meskipun masih awal Ramadan, pasangan penyanyi Syamel dan Ernie Zakri melihat fenomena tersebut sebagai sesuatu yang normal dalam industri muzik, selagi masih menjaga adab terhadap bulan suci.
Ujar Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, setiap individu berhak berkarya dan mempromosikan hasil seni masing-masing, apatah lagi lagu raya yang hanya muncul setahun sekali.
“Memang tahun ini ramai yang keluarkan lagu raya dan ada juga berpendapat kurang sensitif kerana masih awal Ramadan.
“Bagi saya, semua orang bebas berkarya asalkan masih menghormati bulan ini. Kalau semua tunggu hujung-hujung, nanti sukar pula untuk pendengar menilai dan memilih lagu.
“Kalau kami keluarkan lagu pun sudah tentu mahu mempromosikannya. Asalkan cara promosi masih dalam batas hormat Ramadan, bagi saya tiada masalah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Mengulas penglibatan pempengaruh yang turut melancarkan lagu raya, pelantun Hamba Cinta itu menyifatkan situasi tersebut sebagai tanda industri semakin terbuka, walaupun pendengar kini mempunyai terlalu banyak pilihan.
“Kalau influencer mahu keluarkan lagu, raikan sahaja. Tiada syarat khusus untuk berkarya. Cuma bila terlalu banyak lagu, pendengar mungkin pening hendak memilih.
Tetapi bagi kami, selagi karya itu bagus, teruskan. Kalau tidak sesuai atau melanggar batas, salurkan aduan melalui saluran betul. Kita negara bebas bersuara.
“Semakin banyak lagu, semakin banyak pilihan. Pendengar perlu tentukan sendiri lagu mana mahu digunakan atau diminati,” ujarnya pada masjlis pelancaran lagu terbaharunya bersama Ernie berjudul Suasana Raya, di sini, semalam.
Sementara itu, ditanya kebimbangan terhadap penerimaan lagu raya baharu mereka, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, mengakui tidak terlalu gusar kerana setiap generasi mempunyai cita rasa tersendiri.
“Setakat ini kami tidak terlalu risau. Lagu raya memang ada ‘acuan’ tertentu supaya orang terus rasa suasana Aidilfitri.
“Tapi nak tentukan sama ada lagu itu malar segar atau tidak, sebenarnya bergantung pada generasi. Lagu raya zaman ibu bapa kita berbeza dengan lagu raya zaman sekarang
“Selagi cerita raya itu sampai dan orang boleh rasa kemeriahan selepas sebulan berpuasa, itu sudah memadai. Lagu raya ini sebenarnya tentang meraikan kemenangan,” jelasnya.
Tambah pelantun lagu Aura itu, menghasilkan alunan raya sebenarnya bertujuan meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa, bukan semata-mata mengejar populariti.
“Kami keluarkan lagu raya kerana mahu meraikan Aidilfitri. Semua orang nak lagu mereka jadi malar segar, tetapi perkara itu tak boleh dikejar.
“Lagu-lagu lama pun tidak dicipta dengan niat untuk jadi klasik, sebaliknya dibuat mengikut jiwa zaman ketika itu. Sama juga dengan kami. Kami cuma buat muzik yang kami suka demi pendengar di luar sana.
“Apabila rakan artis lain turut buat perkara sama, itu sebenarnya satu bentuk perayaan dalam industri,” tuturnya.
Ernie dan Syamel kembali bergabung menerusi single raya terbaharu yang merupakan hasil kolaborasi istimewa bersama Hong Kong Tourism Board, selain turut menampilkan penggambaran muzik video di beberapa lokasi menarik serta destinasi mesa Muslim di sekitar Hong Kong.
Dengan komposisi dan tulisan Adam Armin serta Yusuff Khan, lagu tersebut kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kalau influencer mahu keluarkan lagu raya, raikan sahaja’ appeared first on Kosmo Digital.
