Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM8.4 juta diperuntukkan kerajaan bagi pembekalan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG)
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peruntukan itu telah diagihkan kepada semua jabatan pendidikan negeri dan institusi berkaitan pada Februari 2025 dengan setiap pelajar menerima dua lencana.
“Proses perolehan dilaksanakan jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi melalui sistem ePerolehan secara tender atau sebut harga,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS–Kuala Krai) berhubung perbelanjaan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada pelajar.
Semua pelajar sekolah kerajaan diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah sebagai langkah memupuk patriotisme dan ketahanan nasional bermula April lalu.
Fadhlina berkata, bagi mempercepatkan bekalan dan menggalakkan lebih ramai pembekal yang layak, perolehan mengikut zon turut dibenarkan.
Menurut beliau, sebanyak 91 pembekal di seluruh negara terbabit dalam penyediaan lencana tersebut.
Kata beliau, KPM telah mengeluarkan garis panduan pemakaian lencana Jalur Gemilang, tetapi membenarkan ibu bapa menyediakan lencana tambahan bersaiz sama yang dibuat daripada bahan sesuai.
“KPM akan terus memantau pelaksanaan fleksibel pemakaian lencana di semua peringkat pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Rakyat: Peruntukan RM8.4 juta untuk lencana Jalur Gemilang appeared first on Kosmo Digital.