Auto Added by WPeMatico

BATU PAHAT – Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap bayi perempuan dalam asuhannya dengan menampar pipi hingga lebam kerana tidak berhenti menangis.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh, Ng Lee Fhung, 58, selepas didapati tidak fasih berbahasa Melayu bagi membolehkan pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai individu yang bertanggungjawab menjaganya, didakwa menganiayai bayi berusia 11 bulan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Setia Jaya, di sini, antara pukul 9 pagi hingga 6 petang, 6 Ogos lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama, denda sehingga RM30,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Nadia Yunus.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan suatu tarikh baru serta menawarkan ikat jamin RM15,000 beserta syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 22 September ini untuk sebutan kehadiran jurubahasa dan menawarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap satu haribulan, tidak menganggu atau berkomunikasi dengan saksi pendakwaan serta menyerahkan passport kepada mahkamah.
Berdasarkan laporan, polis menerima panggilan pihak hospital selepas mendapati terdapat kesan lebam pada pipi bayi terbabit.
Siasatan mendapati, tertuduh adalah jiran kepada keluarga mangsa, diminta menjaga bayi terbabit sejak tiga hari sebelum kejadian.
Tertuduh bertindak menampar pipi selepas bayi itu tidak berhenti menangis. Tindakan itu meninggalkan kesan lebam dan keluarganya membawa ke hospital menjalani pemeriksaan.-KOSMO! ONLINE
The post Pengasuh didakwa lempang bayi sebab tak berhenti menangis appeared first on Kosmo Digital.