Auto Added by WPeMatico

KANGAR – Cubaan seorang lelaki Thailand menyeludup masuk 27 peket plastik mengandungi dadah jenis ganja dari negara itu gagal apabila dicekup polis di Padang Besar, dekat sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemeriksaan ke atas suspek berusia 21 tahun itu membawa kepada penemuan tumbuhan hijau disyaki ganja seberat 2.98 kilogram (kg) bernilai RM9,238 di dalam beg galas disandangnya.
“Hasil soal siasat, polis bertindak menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki tempatan berusia 25 tahun di Alor Setar, Kedah yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket itu adalah membawa bekalan dadah dari Thailand ke negara ini berdasarkan permintaan dengan bayaran RM1,500 bagi setiap penghantaran.
“Jumlah ganja yang dirampas tersebut boleh digunakan seramai 29,870 penagih dadah. Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah,” jelasnya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 12 Jun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Muhammad memberitahu, rampasan dadah kedua dilakukan di kawasan hutan sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini pada 9 Jun lalu.
“Bertindak atas maklumat dadah, kita berjaya merampas 4.2 kg ganja dianggarkan bernilai RM13,020. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh disalah guna oleh 42,000 penagih dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Thailand cuba seludup ganja dalam beg galas appeared first on Kosmo Digital.