Auto Added by WPeMatico

AMPANG – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental dilaporkan hilang sejak empat hari lalu selepas kali terakhir dilihat di Kampung Warisan, Taman Melawati, Jumaat lalu.
Mangsa, Norhafsham Nazri, 43, yang disahkan sebagai OKU mental sejak 2022, dilaporkan hilang selepas bapanya menghantarnya ke Kampung Warisan sekitar pukul 2.30 petang untuk berehat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pada hari sama sekitar pukul 9.30 malam, bapa mangsa yang berusia 69 tahun mendapati anaknya masih belum pulang ke rumah.
Katanya, dia segera bergegas ke lokasi untuk mencarinya namun gagal ditemui.
“Bertindak atas laporan yang diterima pada 2 Ogos, pihak polis menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Hulu Langat, penduduk kampung, sukarelawan serta Malim Gunung Jabatan Perhutanan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil pencarian awal penduduk kampung menemukan sebuah beg galas dipercayai milik mangsa di laluan mendaki Bukit Tabur.
“Operasi SAR kini tertumpu di sekitar laluan Bukit Tabur dan kawasan Hulu Sungai Klang dengan penglibatan unit K9 Bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta sukarelawan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kali terakhir dilihat memakai t-shirt bulat bercorak hitam-merah, seluar jeans gelap, kasut sukan serta membawa beg galas hitam.
Susulan itu, polis menubuhkan Pos Kawalan Polis di lokasi kejadian bagi menyelaras SAR dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Balai Polis Taman Melawati atau melapor terus ke pos kawalan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki OKU mental hilang di Bukit Tabur sejak Jumaat appeared first on Kosmo Digital.