Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA SELANGOR – Seorang pemandu lori disahkan maut manakala 30 individu lain cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan dua buah lori di Kilometer 433 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.12 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dan BBP Rawang digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres jenis Scania, sebuah lori 10 tan serta sebuah treler.
“Seramai 31 mangsa terlibat dalam kejadian ini. Pemandu bas lelaki tersepit dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta kaki kiri sebelum berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada pukul 6.05 pagi.
“Beberapa penumpang bas turut mengalami kecederaan ringan, termasuk tiga lelaki yang cedera pada bahagian kaki dan badan serta seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami pendarahan hidung namun berada dalam keadaan sedar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kelindan lori berkenaan mengalami kecederaan pada tulang rusuk manakala pemandu lori treler mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk.
“Kesemua mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 30 cedera kemalangan 3 kenderaan, pemandu lori maut appeared first on Kosmo Digital.