Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk memperhebat kerjasama melalui kerangka Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) bagi memelihara ketenteraman Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai pada Perundingan Tahunan Ke-13 bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta hari ini.
“Dalam suasana dunia yang semakin rencam hari ini, kami berkeyakinan bahawa kekuatan rantau ini harus diperkukuh melalui muafakat strategik yang teguh, berani dan berwawasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata, dalam perundingan itu, beliau turut menegaskan bahawa keutamaan Malaysia tetap kekal pada keselamatan strategik Selat Melaka dan Laut China Selatan.
Menurut beliau, Malaysia dan Indonesia tidak boleh alpa dan lalai, apatah menyerahkan nasib rantau ini ditentukan kuasa luar tanpa suara dan pendirian.
Selain itu, katanya, kedua-dua negara turut menyentuh banyak isu penting lain termasuk sasaran perdagangan AS$30 bilion antara Malaysia dan Indonesia hingga ke soal kerjasama pelaburan di Ibu Kota Nusantara.
Tambah beliau, akses lintas sempadan yang lebih lancar di Entikong serta keperluan dalam memuktamadkan perjanjian persempadanan darat dan maritim yang tertangguh sejak sekian lama juga dibincangkan.
“Kesemua isu ini dilakar dengan niat bagi mempercepat manfaat kepada rakyat yang hidup di garis sempadan, tidak hanya sekadar angka atas kertas,” katanya.
Selain itu, kata Perdana Menteri, beliau turut menekankan pelaburan Malaysia dalam sektor strategik di Indonesia berpaksi pada semangat tulen memperkukuh kesejahteraan rantau.
Jelas beliau, kedua-dua negara menyatakan hasrat menjadi rakan yang jujur dan amanah dalam pembangunan daripada soal tenaga boleh baharu, infrastruktur, perumahan hingga ke soal pendidikan dan teknologi.
“Malaysia ternyata bukan sekadar tamu sementara, malah kita adalah saudara yang datang bersama cita-cita masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, kata Anwar, beliau danPrabowo juga menyentuh keperluan dalam menyatukan suara dalam beberapa isu global seperti kempen anti-sawit dan pembantaian di Gaza.
Tegas beliau, dunia mesti menyedari bahawa Malaysia dan Indonesia tidak sesekali gentar menyanggah ketidakadilan kerana kedua-duanya bukan hanya negara membangun, tetapi negara bangsa yang bermaruah.
“Jelas kunjungan kali ini ke Jakarta tidak sekadar lawatan kerja, tetapi penyataan bersama bahawa Asia Tenggara mesti dipimpin dengan tegas dan yang menggarap denyut nadi rakyat serta berani menongkah arus demi masa depan rantau yang adil, stabil dan makmur,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia, Indonesia perhebat kerjasama pelihara ketenteraman Laut Sulu, Sulawesi appeared first on Kosmo Digital.