Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Orang ramai disaran agar membuat semakan status doktor yang merawat mereka bagi memastikan individu berkenaan merupakan pengamal perubatan bertauliah dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, semakan itu boleh dibuat menerusi laman web rasmi MMC bagi mengelakkan orang awam menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai doktor perubatan.
“Sekiranya tiada nama dan nombor pendaftaran penuh dipaparkan dalam sistem MMC, maka individu tersebut bukan doktor yang layak untuk beramal perubatan di Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dr. Muhamad Akmal berkata, langkah itu penting terutamanya jika terdapat individu yang mendakwa diri mereka sebagai doktor perubatan, namun status sebenar boleh dipastikan hanya melalui semakan rasmi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pangkalan data MMC hanya melibatkan doktor perubatan, manakala individu yang memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) perlu dirujuk kepada badan atau laman web berkaitan yang lain.
“Alhamdulillah, saya sendiri adalah doktor yang sah dan berdaftar, bukan sekadar mendakwa,” ujarnya.
Tambahnya, kesedaran orang ramai untuk membuat semakan awal mampu membantu mengekang kewujudan ‘doktor palsu’ yang boleh membahayakan keselamatan dan nyawa pesakit. – KOSMO! ONLINE
The post Elak ditipu ‘doktor jadian’, orang ramai boleh semak di MMC appeared first on Kosmo Digital.