Auto Added by WPeMatico

DENPASAR – Sekurang-kurangnya 24 penerbangan ke dan dari Pulau Bali, Indonesia dibatalkan selepas gunung berapi di timur kepulauan itu meletus, menghamburkan abu sejauh 10 kilometer ke langit.
Gunung berapi berkembar, Gunung Lewotobi Laki-Laki berketinggian 1,703 meter di pulau pelancongan timur Flores meletus semalam, manakala pihak berkuasa menaikkan status amarannya ke tahap tertinggi.
Penerbangan yang dibatalkan termasuk Jetstar dan Virgin Australia ke bandar di seluruh Australia, selain Air India, Air New Zealand, TigerAir Singapura dan Juneyao Airlines China turut membatalkan penerbangan, demikian menurut laman web lapangan terbang antarabangsa Bali.
Beberapa penerbangan domestik AirAsia yang berlepas ke Labuan Bajo di Flores turut dibatalkan.
“(Lapangan terbang) Ngurah Rai masih beroperasi seperti biasa tetapi ia bergantung kepada jadual penerbangan. Namun, beberapa penerbangan dibatalkan kerana gunung berapi meletus.
“Ia bergantung kepada laluan dan juga syarikat penerbangan,” kata seorang ejen perkhidmatan pelanggan lapangan terbang yang enggan mendedahkan namanya.
Abu gunung berapi menghujani beberapa kampung di sekitar Lewotobi Laki-Laki dan memaksa pemindahan sekurang-kurangnya sebuah kampung lewat semalam, kata agensi mitigasi bencana Indonesia.
Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Pada November lalu, Gunung Lewotobi Laki-Laki meletus beberapa kali dan membunuh sembilan orang, membatalkan banyak penerbangan antarabangsa ke Bali serta memaksa ribuan penduduk berpindah. – AFP
The post Lewotobi Laki-Laki meletus, 24 penerbangan ke Bali dibatalkan appeared first on Kosmo Digital.